SOALAN LAZIM

  1. Apakah cap dagangan?

Cap dagangan ialah apa-apa tanda yang boleh dinyatakan  secara  grafik  yang  boleh  membezakan  barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain. Tanda termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya.

Cap dagangan merupakan alat pemasaran yang membolehkan pengguna membuat pilihan barangan atau perkhidmatan yang dipasarkan.

  1. Apakah fungsi-fungsi cap dagangan?

Fungsi asal –  Cap dagangan dapat menunjukkan asal usul sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dipasarkan.

Fungsi pemilihan – Cap dagangan mempermudahkan pengguna membuat pilihan semasa membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Fungsi kualiti – Pengguna boleh memilih barangan atau perkhidmatan yang berkualiti berdasarkan reputasi sesuatu cap dagangan.

Fungsi pemasaran – Cap dagangan adalah medium pengiklanan yang berkesan bagi membolehkan pengeluar memasarkan barangan atau perkhidmatan.

Fungsi ekonomi – Sesuatu cap dagangan terkenal yang terbukti kualitinya, atau mempunyai reputasi yang tinggi boleh dilesenkan atau dipindahmilik kepada pihak lain yang menjadikannya aset ekonomi.

  1. Apakah perundangan yang mentadbir cap dagangan?

Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815)

  • Telah berkuatkuasa pada 27 Disember 2019. Terpakai pada semua permohonan yang difailkan mulai 27 Disember 2019 dan kepada cap dagangan berdaftar yang sediada.

Akta Cap Dagangan 1976 (Akta 175)

  • Terpakai pada semua permohonan yang masih di dalam pertimbangan yang difailkan sebelum 27 Disember 2019 sehingga penguatkuasaan Akta Cap Dagangan 2019.
Pindaan Singkatan
Act A881 Cap Dagangan (Pindaan) Akta 1994
Act A1078 Cap Dagangan (Pindaan) Akta 2000
Act A1138 Cap Dagangan (Pindaan) Akta Act 2002

Peraturan-peraturan Cap Dagangan 2019

Guidelines of Trademarks 2019

Guidelines of Trademarks (Transitional Matters) 2019

Peraturan-peraturan Cap Dagangan 1997

Pindaan Singkatan
P.U.(A) 228/2001 Cap Dagangan (Pindaan) Peraturan 2001
P.U.(A) 251/2007 Cap Dagangan (Pindaan) Peraturan 2007
P.U.(A) 47/2011 Cap Dagangan (Pindaan) Peraturan 2011
  1. Apakah kepentingan pendaftaran cap dagangan?
  • Hak eksklusif – Pemilik Cap Dagangan berdaftar adalah diberikan hak eksklusif untuk menggunakan cap dagangan mereka dalam perniagaan. Mereka juga berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menggunakannya tanpa kebenaran sama ada dalam bentuk sivil melalui peruntukan pelanggaran (infringement) di bawah Akta Cap Dagangan 2019 atau pun mengemukakan aduan kepada Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) untuk tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
  • Pendaftaran Muktamad –  Notis pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pendaftar adalah bukti sah pemilikan ke atas sesuatu cap dagangan di mana ia boleh diterima di mahkamah.
  1. Adakah cap dagangan wajib didaftarkan?

Pendaftaran cap dagangan adalah penting untuk mendapat hak eksklusif bagi tujuan mengeksploitasi dan mengambil tindakan pelanggaran walau pun tidak wajib didaftarkan.

  1. Apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran bagi cap dagangan yang tidak didaftarkan?

Pemilik tidak boleh mengambil apa-apa tindakan di bawah peruntukan Akta Cap Dagangan 2019. Walau bagaimanapun tindakan pelanggaran boleh diambil di bawah prinsip undang-undang lazim. Sekiranya cap dagangannya digunakan oleh pihak lain, mereka perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa berlaku kekeliruan di kalangan pengguna berkaitan dengan asal usul sesuatu barangan atau perkhidmatan serta membuktikan bahawa kedudukan pasaran mereka terjejas. Tindakan ini boleh menyebabkan perbalahan, rumit untuk diselesaikan dan memakan masa yang panjang serta melibatkan kos tinggi.

  1. Siapakah yang boleh membuat permohonan pendaftaran Cap Dagangan?

Mana-mana pemilik Cap Dagangan sama ada warganegara atau bukan warganegara yang sedang menggunakan cap tersebut di Malaysia atau bercadang untuk menggunakannya boleh membuat pendaftaran. Pemilik-pemilik tersebut boleh terdiri daripada orang perseorangan, perkongsian, syarikat atau pertubuhan.

  1. Bilakah permohonan pendaftaran Cap Dagangan boleh dibuat?

Permohonan pendaftaran boleh dibuat pada bila-bila masa sama ada cap dagangan tersebut telah, sedang atau akan digunakan di masa hadapan.

  1. Adakah semua cap dagangan boleh didaftarkan?

Tidak semua cap dagangan boleh didaftarkan. Secara umum, sesuatu cap dagangan yang hendak didaftarkan mestilah tidak mengandungi apa-apa perkataan atau representasi yang dilarang di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 24 Akta Cap Dagangan 2019 dan Peraturan 4 Peraturan Cap Dagangan 2019.

  1. Apakah keperluan pemfailan?

Keperluan pemfailan :

  • Borang Permohonan Pendaftaran Cap Dagangan yang lengkap (contoh borang boleh didapati-Kod bayaran TMA2A-TMA2C) – 2 salinan. Satu Salinan akan dipulangkan kepada pelanggan untuk rujukan.
  • Saiz cap dagangan tidak melebihi 10 cm x 10 cm.
  • Perihalan cap dagangan diperlukan bagi cap dagangan adalah bentuk barang-barang, aspek pembungkusannya, bau, hologram, kedudukan atau urutan gerakan.
  • Untuk cap bunyi, perihalan dan sediakan MP3 bagi bunyi tersebut.
  • Untuk cap warna, perihalan dan kod Pantone (PMS) diperlukan.
  • Terjemahan diperlukan bagi cap bukan-roman atau dalam bahasa selain bahasa kebangsaan atau Bahasa Inggeris.
  • Bayaran sebanyak RM950.00 (kod bayaran TMA2A) bagi setiap kelas yang mengikut senarai barangan/perkhidmatan yang telah diluluskan dan RM1100.00 (kod bayaran TMA2B) setiap kelas yang tidak mengikut senarai barangan/perkhidmatan yang telah diluluskan.
  • Jika permohonan itu adalah siri cap dagangan, fi tambahan sebanyak RM50.00 akan dikenakan bagi cap dagangan kedua dan seterusnya. Maksimum ialah 6 siri.
  • Pemohon boleh memfailkan lebih dari satu kelas dalam satu pemfailan tunggal.
  • Bayaran boleh dibuat secara tunai/ cek/ wang pos/ bank draft/kad kredit kepada “Perbadanan Harta Intelek Malaysia”.
  1. Berapakah jumlah kos pemfailan bagi sesuatu permohonan Cap Dagangan?

Pemfailan permohonan boleh dibuat secara kelas tunggal atau berbilang kelas. Kos adalah RM 950.00 setiap kelas untuk senarai barangan/perkhidmatan yang telah diluluskan dan RM1100.00 setiap kelas tanpa senarai barangan/perkhidmatan yang telah diluluskan.

  1. Apakah tujuan nasihat awal dan carian oleh Pendaftar?

Sebelum meneruskan pemfailan cap dagangan, pemohon dinasihatkan untuk membuat carian cap dagangan bagi mengelakkan permohonan ditolak. Pemohon boleh memfailkan permohonan beserta pembayaran fi yang ditetapkan kepada Pendaftar untuk mendapatkan nasihat awal dan carian samada cap dagangan itu adalah prima facie boleh didaftarkan. Pemeriksaan akan dibuat berdasarkan alasan mutlak dan relatif.

  1. Apakah maksudnya pemeriksaan dipercepatkan?

Pemeriksaan dipercepat diperkenalkan untuk membenarkan cap dagangan yang mematuhi Akta Cap Dagangan dan Peraturan-Peraturan didaftarkan dalam tempoh 6 bulan dan 3 minggu dari pemfailan borang dan fi yang ditetapkan berserta alasan. Walau bagaimanapun, pemeriksaan dipercepat tidak boleh digunakan untuk cap kolektif, cap pensijilan dan cap dagangan warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan atau urutan gerakan.

  1. Apakah sebab-sebab yang membenarkan permintaan pemeriksaan dipercepatkan?

Sebab-sebab yang membenarkan untuk meminta peperiksaan yang dipercepat:

  • Permintaan itu adalah demi kepentingan negara atau awam;
  • Terdapat prosiding pelanggaran yang sedang berjalan atau keterangan yang menunjukkan kemungkinan pelanggaran berkenaan dengan cap dagangan yang dipohon di bawah Peraturan 35 (permohonan pendaftaran);
  • Pendaftaran cap dagangan adalah syarat untuk mendapatkan faedah kewangan daripada Kerajaan atau institusi yang diiktiraf oleh Pendaftar; atau
  • Terdapat alasan yang munasabah yang menyokong permintaan tersebut.
  1. Apakah sebab utama sesuatu permohonan ditolak?

Terdapat dua alasan untuk penolakan sesuatu permohonan cap dagangan iaitu atas “alasan mutlak” dan “alasan relatif”.

  1. Berapa lamakah tempoh perlindungan cap dagangan?

Tempoh sah perlindungannya ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama 10 tahun seterusnya.

  1. Adakah pendaftaran di Malaysia memberi perlindungan di seluruh dunia?

Tidak, perlindungan cap dagangan adalah tertakluk kepada wilayah/negara. Pemilik cap dagangan perlu mendapatkan pendaftaran di setiap negara sama ada melalui pendaftaran dalam negara atau antarabangsa (sistem Madrid).

  1. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan perlindungan di luar negara?

Malaysia telah menyertai Protokol Madrid, sebuah sistem pendaftaran cap dagangan antarabangsa  yang ditadbir oleh Pertubuhan  Harta Intelek Dunia (WIPO), dan telah berkuatkuasa pada 27 Disember 2019. Oleh itu, pemilik  cap dagangan di Malaysia boleh mendaftarkan cap dagangan mereka menerusi Sistem Madrid, sistem pemfailan tunggal untuk pendaftaran di mana-mana negara anggota yang dipilih.

Dengan hanya memfailkan satu permohonan antarabangsa melalui Perbadanan Harta Intelek  Malaysia  (MyIPO) dan membayar satu set fi dalam satu bahasa, pemilik  cap dagangan boleh  melindungi  dan  mempromosikan produk mereka di negara anggota dengan kos yang lebih murah dan mudah tanpa perlu berurusan di setiap negara yang ingin diteroka.

  1. Perlukah pemohon melantik ejen cap dagangan untuk memfailkan permohonan?

Pemohon tempatan boleh memfailkan permohonan cap dagangan dengan sendiri. Manakala, pemohon luar negara hendaklah memfailkan permohonan melalui ejen cap dagangan berdaftar.

  1. Siapakah ejen cap dagangan berdaftar?

Ejen cap dagangan berdaftar adalah orang perseorangan, firma atau syarikat yang berdaftar di dalam Daftar Ejen Cap Dagangan. Mereka dilantik oleh pemohon untuk mewakili dirinya di dalam proses untuk mendapatkan pendaftaran cap dagangan.

** Sekiranya anda mempunyai persoalan lain berkenaan cap dagangan, sila Hubungi Kami.

  1. Apakah itu paten?

Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta, sama ada suatu produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu, ataupun untuk penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah. Paten dilindungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan.

  1. Apakah itu perbaharuan utiliti?

Perbaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta yang ringkas. Perbaharuan utiliti dilindungi selama 10 tahun dan boleh dilanjutkan selama dua tempoh 5 tahun, menjadikan tempoh maksima perlindungan selama 20 tahun.

  1. Apakah undang-undang yang mengawal paten di Malaysia?

Peruntukan Akta Paten 1983, Peraturan-Peraturan Paten 1986, Arahan Akta Paten 1983 dan Peraturan-Peraturan Paten 1986 dan Notis Amalan 1/2022 membentuk rangka kerja kawal selia bagi undang-undang paten di Malaysia.

  1. Bolehkah saya memfailkan rekacipta saya di negara luar tanpa memfailkan rekacipta yang sama di Malaysia?

Sebelum memfailkan permohonan paten di luar Malaysia, pemilik dan/atau perekacipta yang bermastautin di Malaysia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Pejabat Pendaftaran Paten. Permohonan boleh dibuat dengan memfailkan Borang 1B dengan bayaran yang ditetapkan dan menerangkan secara ringkas ciptaan tersebut. Kegagalan mendapatkan kebenaran bertulis, pemohon adalah dianggap telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 62A Akta ini.

  1. Apakah hak pemunya paten?

Pemunya paten mempunyai hak untuk menggunakan rekacipta yang dipatenkan atau memberi lesen kepada orang lain bagi menggunakan rekacipta tersebut atau menjual hak tersebut kepada orang lain yang akan menjadi pemilik baru kepada rekacipta tersebut.

  1. Bolehkah pemohon mengetahui samada rekaciptanya adalah sesuatu yang baru sebelum memohon perlindungan?

Boleh. Carian boleh dilakukan di Bilik Carian Awam di MyIPO atau melalui capaian internet IPOnline ke atas dokumen paten Malaysia yang terdahulu.

  1. Bolehkah pemohon mendapat perlindungan selepas rekaciptanya diketahui umum sebelum pemohon membuat permohonan?

Boleh, dengan syarat pemohon memfailkan permohonan dalam tempoh 12 bulan selepas rekaciptanya dizahirkan.

  1. Berapakah jumlah kos permohonan paten dan perbaharuan utiliti?

Jumlah kos bagi permohonan paten – RM 1,390 dan bagi perbaharuan utiliti – RM 1,240.

  1. Dimanakah pemohon boleh mendapat bantuan bagi menyediakan permohonan paten?

Pemohon boleh mendapat perkhidmatan penyediaan permohonan paten dengan ejen paten yang berdaftar.

  1. Adakah setiap permohonan paten dianggap sulit?

Ya, setiap permohonan paten adalah sulit sehingga selepas 18 bulan dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan permohonan.

  1. Apakah perbezaan antara pemeriksaan substantif dan pemeriksaan substantif yang diubahsuaikan?

Pemeriksaan substantif dijalankan oleh Pemeriksa Paten untuk memeriksa kandungan teknikal permohonan paten yang difailkan. Pemeriksa hendaklah mencari dokumen paten yang tersedia di seluruh dunia yang berkaitan dengan ciptaan untuk menentukan sama ada permohonan tersebut memenuhi keperluan substantif di bawah Akta dan Peraturan Paten.

Pemeriksaan substantif yang diubahsuaikan adalah jalan pintas yang berkesan untuk memproses permohonan paten sehingga pemberian paten. Pemeriksaan ini menggunakan laporan carian atau pemeriksaan yang telah dijalankan oleh Pejabat Paten luar negara iaitu Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea seperti yang dinyatakan di Peraturan 27A(5) ke atas permohonan paten yang sepadan untuk ciptaan yang sama.

12. Bolehkah saya meminta Peperiksaan Dipercepatkan?

Ya, permintaan untuk kelulusan pemeriksaan dipercepatkan (Borang 5H) boleh difailkan dengan syarat pemohon telah memfailkan permintaan bagi peperiksaan substantif (Borang 5) atau permintaan bagi pemeriksaan substantif diubahsuaikan (Borang 5A).

13. Apakah Pemerhatian Pihak Ketiga (TPO)?

Pemerhatian Pihak Ketiga membenarkan mana-mana orang membuat pemerhatian ke atas apa-apa perkara yang berkaitan dengan kebolehpatenan suatu permohonan paten dan permohonan TPO hendaklah menyatakan sebab-sebab bagi pemerhatian tersebut. Permohonan itu perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penerbitan permohonan paten dalam Jurnal Rasmi Harta Intelek.

  1. Bolehkah pemohon mengambil tindakan mahkamah jika seseorang meniru rekaciptanya semasa permohonan sedang diproses?

Tindakan mahkamah tidak boleh diambil semasa permohonan sedang diproses. Walaubagaimanapun, tindakan mahkamah boleh diambil sebaik sahaja pemberian paten dikeluarkan. Hak perlindungan paten adalah bermula dari tarikh pemfailan.

  1. Adakah MyIPO membenarkan pemilik paten membuat pembayaran semua fi tahunan untuk keseluruhan tempoh patennya secara sekaligus selepas pemberian paten?

Pemilik paten dibenarkan membuat pembayaran fi tahunan secara sekaligus selama dua tahun atau lebih tetapi tidak melebihi lima tahun.

  1. Apakah yang berlaku setelah paten luput?

Sebaik sahaja paten luput, pemunya tidak lagi mempunyai hak eksklusif ke atas rekacipta tersebut.

  1. Bagaimanakah pemohon ingin mendapatkan perlindungan rekaciptanya di negara lain?

Terdapat dua cara dimana suatu rekacipta boleh mendapat perlindungan di negara lain. Permohonan boleh dibuat terus ke negara-negara berkenaan atau melalui sistem permohonan paten antarabangsa [Triti Kerjasama Paten (PCT)].

  1. Apakah itu Triti Kerjasama Paten (PCT)?

PCT adalah triti antarabangsa, yang ditadbir oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organisation – WIPO) dengan lebih 155 buah negara anggota kepada Konvensyen Paris. PCT memberi kemudahan bagi pemfailan permohonan paten antarabangsa ke atas suatu rekacipta di negara lain dengan hanya memfailkan satu permohonan.

  1. Di manakah permohonan paten antarabangsa boleh difailkan?

Permohonan paten antarabangsa boleh difailkan di MyIPO, yang merupakan Pejabat Penerima [Receiving Office(RO)]

  1. Apakah fi yang terlibat bagi memfailkan permohonan paten antarabangsa?

Terdapat tiga jenis fi bagi memfailkan permohonan paten antarabangsa: (i) fi pemfailan antarabangsa; (ii) fi carian antarabangsa; dan (iii) fi penghantaran. Pemohon hendaklah membayar hanya satu set bayaran fi berkenaan dalam Ringgit Malaysia. (Untuk maklumat lanjut sila rujuk www.myipo.gov.my)

  1. Apakah garis masa permohonan paten antarabangsa memasuki fasa nasional?

Proses permohonan paten antarabangsa mengambil tempoh masa lebih kurang 30 bulan dari tarikh pemfailan, sebelum memasuki fasa nasional [Pejabat Ditetapkan (DO)]. Permohonan itu akan diterbitkan oleh Biro Antarabangsa (WIPO) selepas tempoh 18 bulan dari tarikh prioriti bersama-sama atau tanpa laporan carian antarabangsa.

  1. Apakah itu carian antarabangsa?

Carian antarabangsa adalah carian yang berkualiti ke atas dokumen paten dan bahan rujukan teknikal yang berkaitan. Pihak Berkuasa Carian Antarabangsa (ISA) akan mengeluarkan laporan carian antarabangsa mengenai kebaharuan, langkah mereka cipta dan pemakaian perindustrian rekacipta tersebut.

  1. Apakah itu penerbitan antarabangsa ?

Penerbitan antarabangsa ialah penerbitan kandungan permohonan paten antarabangsa ke seluruh dunia bersama-sama laporan carian antarabangsa oleh WIPO. Ianya diterbitkan selepas 18 bulan dari tarikh prioriti.

  1. Apakah itu pemeriksaan permulaan antarabangsa?

Pemeriksaan permulaan antarabangsa ialah pemeriksaan ke atas kebolehpatenan (patentability) rekacipta dimana satu laporan akan dikeluarkan mengenai kebolehpatenan rekacipta tersebut. Laporan ini memberi pendapat bertulis keatas kriteria mematuhi kebolehpatenan bagi setiap tuntutan.

  1. Bila dan bagaimanakah permohonan paten antarabangsa memasuki fasa nasional di Malaysia?

Pemohon hendaklah membuat permohonan untuk memasuki fasa nasional di Malaysia sebelum tamat tempoh 30 bulan dari tarikh prioriti. Pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat seperti membayar fi memasuki fasa nasional dan mengemukakan satu salinan permohonan antarabangsa dalam Bahasa Inggeris.

  1. Apakah faedah PCT?

PCT membantu memudahkan pemohon dalam mendapatkan perlindungan paten di peringkat antarabangsa, membantu pejabat paten dengan keputusan pemberian paten mereka, dan memudahkan akses awam kepada pelbagai maklumat teknikal yang berkaitan dengan rekacipta tersebut.

Dengan memfailkan satu permohonan paten antarabangsa di bawah PCT, pemohon secara serentak boleh mendapatkan perlindungan untuk ciptaan di sebilangan besar negara.

PERMOHONAN FAIL ANTARABANGSA (PCT) :-

PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA  (MyIPO)  SEBAGAI PEJABAT PENERIMA

1.Bolehkah saya memfailkan permohonan antarabangsa di Malaysia?

Ya,  mana-mana warganegara atau pemastautin Malaysia boleh menfailkan permohonan antarabangsa di Malaysia, yang mana Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai pejabat penerima.

2. Apakah kandungan permohonan antarabangsa? 
Permohonan Antarabangsa mengandungi :

  • Permintaan (Borang PCT/RO/101)
  • Perihalan
  • Satu atau beberapa tuntutan,
  • Satu atau beberapa lukisan (jika ada)
  • Ringkasan

3. Apakah keperluan bagi memperolehi tarikh pemfailan antarabangsa?
Keperluan bagi memperoleh tarikh pemfailan antarabangsa adalah seperti berikut:

a.Pemohon hendaklah penduduk tetap atau warganegara,
b.Bahasa yang digunakan bagi permohonan antarabangsa hendaklah dalam Bahasa Inggeris,
c.Permohonan antarabangsa hendaklah mengandungi:

  • Satu pernyataan yang menunjukkan sebagai permohonan antarabangsa,
  • Satu permintaan yang membolehkan semua kemungkinan,
  • Nama pemohon,
  • Perihalan ke atas rekacipta,
  • Tuntutan

4.Apakah bayaran yang akan dikenakan?
Berikut adalah bayaran / fi bagi permohonan antarabangsa yang difailkan di MyIPO:
a. Bayaran Penghantaran (MyIPO)
b. Bayaran Pemfailan Antarabangsa (International Bureau)
c. Bayaran Carian (International Searching Authority)

5. Pihak berkuasa Carian Antarabangsa yang manakah boleh dipilih oleh pemohon bagi menjalankan carian antarabangsa?
a. Pejabat Harta Intelek Korea
b. Pejabat Paten Australia
c. Pejabat Paten Eropah

6. Selain MyIPO, adakah terdapat pejabat lain di mana pemastautin atau warganegara Malaysia boleh memfailkan permohonan antarabangsa?
A Pemastautin atau warganegara Malaysia boleh memfailkan permohonan antarabangsa di International Bureau (IB), WIPO yang bertindak sebagai pejabat penerima bagi warganegara dan pemastautin dari semua negara anggota PCT.

 7. Bagaimanakah untuk saya memfailkan permohonan antarabangsa (PCT)?
Permohonan PCT boleh difailkan terus kepada MyIPO atau melalui pos.

8. Dimanakah boleh saya mendapatkan maklumat tambahan mengenai PCT?
Sila layari laman web WIPO bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan PCT dan PCT SAFE.

** Sekiranya anda mempunyai persoalan lain berkenaan PCT, sila hubungi:

1. Apakah reka bentuk perindustrian?

Reka bentuk perindustrian ialah rupa bentuk luaran secara keseluruhan sesuatu barang atau produk. Bentuk atau tatarajah merupakan aspek tiga dimensi manakala corak atau hiasan merangkumi dua dimensi. Ciri-ciri tiga atau dua dimensi atau kedua-duanya sekali yang terdapat pada suatu barang siap hendaklah melalui kaedah perindustrian. Ciri-ciri tersebut akan memberi suatu penampilan yang unik pada suatu barang atau produk tersebut.

2. Apakah reka bentuk perindustrian yang tidak boleh dilindungi?

  • Reka bentuk yang tidak mempunyai nilai estetik yang jelas.
  • Kaedah atau prinsip pembinaan.
  • Ciri yang ditentukan semata-mata oleh fungsi (dictated solely by the function).
  • Ciri yang bergantung kepada rupa suatu barangan lain (integral parts).
  • Reka bentuk yang mempunyai perbezaan dari segi butir-butir tak material (ketara) atau ciri-ciri biasa yang digunakan dalam suatu perdagangan.
  • Reka bentuk yang bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral.

3. Bagaimanakah cara untuk menfailkan permohonan bagi mendaftarkan reka bentuk perindustrian?

Permohonan bagi mendaftarkan reka bentuk perindustrian hendaklah menyertakan:

  • Borang permohonan RBP 1 yang lengkap diisi dalam Bahasa Malaysia atau Form ID 1 dalam Bahasa Inggeris.
  • Enam set representasi samada dalam bentuk lukisan ataupun gambar foto.
  • Satu pernyataan kebaharuan. Walau bagaimanapun bagi pemfailan kertas dinding, lace atau barangan tekstil ia boleh dibuat di lampiran yang berasingan.
  • Bayaran fi pemfailan yang lengkap.
  • Pernyataaan yang mewajarkan hak pemohon keatas pendaftaran (statement justifying applicant’s right) perlu dikemukakan semasa pemfailan permohonan sekiranya pemohon bukan pencipta.

4. Bilakah sesuatu permohonan harus difailkan?

Tuntutan hak adalah berdasarkan kepada pertama difailkan atau first to file. Pemohon perlu menfailkan permohonan reka bentuk perindustrian secepat mungkin atau sebelum sesuatu barang itu dizahirkan kepada awam. Sesuatu reka bentuk perindustrian adalah dianggap sebagai rahsia sebelum ianya dizahirkan.

5. Siapakah yang layak memohon untuk mendaftarkan reka bentuk perindustrian?

Pencipta asal suatu reka bentuk perindustrian adalah berhak untuk membuat permohonan. Permohonan boleh dibuat atas nama individu atau syarikat. Bagaimanapun ejen reka bentuk perindustrian boleh dilantik untuk menfailkan permohonan. Sekiranya alamat atau pejabat perniagaan pemohon adalah di luar Malaysia, pemohon perlu melantik ejen yang berdaftar dengan Pendaftar Reka Bentuk perindustrian.

6. Berapa lamakah proses pendaftaran reka bentuk perindustrian?

Suatu permohonan yang lengkap boleh didaftarkan dalam tempoh 8 bulan daripada tarikh penerimaan borang, dokumen dan yuran pemfailan yang lengkap. Walau bagaimanapun tempoh tersebut boleh berlanjutan sehingga 14 bulan sekiranya memerlukan dokumen atau penjelasan tambahan .

7. Berapa lamakah tempoh perlindungan diberi kepada reka bentuk perindustrianyang berdaftar?

Tempoh perlindungan reka bentuk perindustrian berdaftar adalah selama 5 tahun berkuatkuasa dari tarikh pemfailan. Perlindungan tersebut boleh dilanjutkan selama 4 tempoh dimana setiap tempoh perlindungan adalah selama 5 tahun. Tempoh maksima perlindungan ialah 25 tahun.

8. Apakah syarat bagi membolehkan reka bentuk perindustrian itu didaftarkan?

Reka bentuk perindustrian itu hendaklah baru di Malaysia dan di dunia serta ianya tidak pernah dizahirkan kepada awam sebelum permohonan difailkan. Reka bentuk perindustrian tersebut juga hendaklah tidak terdapat dalam Daftar Reka Bentuk Perindustrian.

9. Apakah hak yang diperolehi dengan mendaftarkan reka bentuk perindustrian?

Pemilik reka bentuk perindustrain berdaftar mempunyai hak eksklusif ke atas reka bentuk perindustrian di mana pemilik berhak untuk membuat, mengimport, menjual dan juga melesenkan atau menyewakan apa-apa barang yang menggunakan reka bentuk perindustrian tersebut. Pengguna lain haruslah memperolehi kebenaran pemilik reka bentuk perindustrian berdaftar sebelum menggunakan reka bentuk perindustrian berdaftar berkenaan. Pemilik reka bentuk perindustrian berdaftar boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang melakukan pelanggaran dalam tempoh 5 tahun dari tarikh pelanggaran.

10. Apakah yang perlu di buat sekiranya pemohon ingin menuntut tarikh prioriti pendaftaran luar negara miliknya?

Pemohon perlu membuat tuntutan semasa pemfailan borang permohonan. Tarikh prioriti dan negara dimana pendaftaran terawal dituntut perlu dicatatkan. Tuntutan perlu dibuat dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pemfailan luar negara. Dokumen prioriti dan terjemahan perlu dikemukakan sebagai bukti.

11. Apakah yang boleh dilakukan sekiranya ada pihak yang meniru reka bentuk perindustrian berdaftar?

Pemilik reka bentuk perindustrian berdaftar berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang menggunakan reka bentuk perindustriannya tanpa kebenaran. Sijil Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian boleh digunakan sebagai bukti yang sah dalam tuntutan hak milik berkenaan di mahkamah. Pemilik berdaftar boleh mengambil tindakan undang-undang melalui tindakan sivil dibawah peruntukan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 atau tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

12. Bilakah sesuatu barang yang menggunakan reka bentuk perindustrian itu boleh dikeluarkan atau dijual?

Pada bila-bila masa selepas suatu permohonan telah difailkan. Pemilik juga boleh mengeksplotasikan rekabentuk di pasaran antarabangsa. Walau bagaimanapun pemilik hendaklah terlebih dahulu memperolehi perlindungan di negara yang berkaitan.

13. Bolehkan reka bentuk perindustrian itu didedahkan kepada umum?

Reka bentuk perindustrian boleh didedahkan kepada umum sebaik sahaja ianya didaftarkan. Maklumat dan butiran pendaftaran yang tercatat pada Daftar Reka Bentuk Perindustrian dan Sistem Jurnal Rasmi Harta Intelek untuk pemeriksaan awam.

14. Perlukan seseorang itu mendaftarkan reka bentuk perindustriannya?

Sesuatu reka bentuk perindustrian tidak akan mendapat perlindungan sekiranya ia tidak didaftarkan. Bagi membolehkan suatu reka bentuk perindustrian itu dilindungi, ia hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftar Reka Bentuk Perindustrian Malaysia.

15. Adakah pendaftaran di Malaysia memberi perlindungan di seluruh dunia?

Tidak. Pendaftaran di Malaysia memberi perlindungan hanya di Malaysia. Pemilik reka bentuk yang ingin mendapat perlindungan di luar negara perlu menfailkan permohonan di negara berkaitan. Walaubagaimana pun pemohon boleh menggunakan pendaftaran di Malaysia untuk menuntut tarikh prioriti di mana-mana negara yang menjadi ahli Paris Convention dengan syarat permohonan difailkan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pemfailan di Malaysia.

16. Di manakah permohon boleh dikemukakan?

Permohonan surat-menyurat dan pertanyaan hendaklah dimajukan kepada:

Ibu Pejabat

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Unit 1-7, Aras Bawah,
Menara UOA Bangsar,
No. 5 Jalan Bangsar Utama 1,
59000 Kuala Lumpur
Tel:             +603-2299 8400      
Faks: +603-2299 8989

Pejabat Sabah:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Tingkat 6, Blok C,
49, Jalan Karamunsing,
Bangunan KWSP
PO BOX 2068
88999 Kota Kinabalu, Sabah.
No. Telefon :             +6088 254 524      
No. Faks : +6088 257 046
Pejabat Sarawak:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Lot 9936, (Sub Lot 5), Aras 3, Queen’s Court,
93000 Kuching, Sarawak.
No. Telefon : +6082 459 075/             +6082 459 076      
No. Faks : +6082 455 052


** Sekiranya anda mempunyai persoalan lain berkenaan reka bentuk perindustrian, sila hubungi kami.

  1. Apa yang dimaksudkan dengan Petunjuk Geografi ?

Petunjuk geografi merujuk kepada suatu tanda yang terdiri daripada satu atau lebih perkataan dan tanda ini digunakan ke atas sesuatu barangan dimana barangan tersebut mempunyai kualiti, reputasi atau ciri-ciri lain yang boleh dikaitkan dengan keadaan kawasan, tempat, wilayah atau negeri.

  1. Siapa yang boleh memohon untuk mendaftar Petunjuk Geografi?

Petunjuk Geografi boleh dipohon oleh seseorang yang menjalankan aktiviti sebagai—

(a)       pengeluar di kawasan atau tempat atau wilayah atau negeri; atau

(b)       pihak yang berwibawa seperti badan kerajaan atau badan berkanun.

  1. Apakah kelebihan mendaftar Petunjuk Geografi?

Pemilik suatu Petunjuk Geografi —

(a)       mempunyai hak mengunakan  Petunjuk Geografi tersebut

(b) memberi kebenaran kepada orang lain menggunakan petunjuk geografi tersebut

(c)        boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak lain menggunakan Petunjuk Geografi tanpa mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan mempunyai hak untuk mendapatkan relif di mahkamah sekiranya berlaku pelanggaran.

  1. Apakah perbezaan Petunjuk Geografi dengan Cap Dagangan?

Petunjuk Geografi merujuk kepada nama suatu barangan dimana barangan tersebut mempunyai kualiti, reputasi dan ciri-ciri lain yang terhasil kesam daripada keadaan kawasan atau tempat atau wilayah atau negeri tersebut.

Cap Dagangan pula adalah suatu tanda yang boleh dinyatakan secara grafik dan tanda ini boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan yang lain.

  1. Apa yang membezakan antara Petunjuk Geografi Varian dan Petunjuk Geografi Homonim?

Petunjuk geografi varian merujuk kepada suatu petunjuk geografi yang berbeza daripada petunjuk geografi asal yang telah didaftarkan. Perbezaan yang dimaksudkan adalah terjemahan, transliterasi atau variasi lain yang ada pada petunjuk geografi berkenaan.

Petunjuk Geografi Homonim mempunyai tanda atau nama yang sama tetapi ianya dibezakan dengan spesifikasi dari segi kualiti, reputasi atau ciri-ciri lain serta berasal dari Kawasan, tempat, wilayah atau negeri yang berbeza.

  1. Bagaimanakah cara untuk mendaftar Petunjuk Geografi?

Pemohon perlu memfailkan borang pendaftaran iaitu borang GIA1 dan mengemukakan bayaran RM 250.00.

  1. Bolehkah permohonan Petunjuk Geografi dibuat dalam pelbagai kelas barangan?

Pemohon hanya boleh memohon pelbagai barangan yang ada dalam satu kelas yang sama.  Sekiranya pemohon ingin memohon untuk mendaftar suatu Petunjuk Geografi bagi barangan di dalam kelas yang berbeza, pemohon perlu memfailkan borang permohonan yang berbeza. the applicant must submit a different application form.

  1. Berapakah jumlah kos pemfailan bagi permohonan Petunjuk Geografi?

Fi keseluruhan bagi permohonan Petunjuk Geografi adalah RM 700.00 bagi satu kelas permohonan.  Ianya perlu dibayar dua kali iaitu RM 250.00 semasa permohonan difailkan dan RM 450.00 apabila permohonan tersebut disetujuterima.

  1. Sekiranya pemohon yang ingin mendaftar Petunjuk Geografi adalah dari luar negara, bagaimanakah prosedur permohonan tersebut?

Pemohon dari luar negara boleh memohon untuk mendaftar Petunjuk Geografi di Malaysia dengan memfailkan borang permohonan GIA1 serta melantik seorang ejen petunjuk geografi di Malaysia dengan memfailkan borang GIA27.

  1. Apakah yang boleh menyebabkan suatu Petunjuk Geografi ditolak permohonannya?

Permohonan suatu Petunjuk Geografi boleh ditolak permohonan sekiranya—

  • Petunjuk Geografi tersebut tidak menepati definisi “Petunjuk Geografi” iaitu Petunjuk Geografi yang dipohon perlu ada kualiti, reputasi atau apa-apa jua ciri dan ketiga-tiga perkara yang ada pada Petunjuk Geografi ini adalah disebabkan keadaan atau ciri sesuatu negara atau wilayah atau kawasan atau tempat dalam negara atau wilayah itu;
  • barang-barang yang dipohon tidak termasuk dalam senarai barang-barang yang diterima sebagai barang-barang yang boleh didaftarkan;
  • Petunjuk Geografi yang dipohon merupakan perkataan biasa yang merujuk kepada barang-barang yang dipohon;
  • Petunjuk Geografi bertentangan dengan ketenteraman awam dan prinsip moral;
  • Petunjuk Geografi yang tidak lagi dilindungi di negara atau telah terhenti dilindungi di negara atau wilayah asal;
  • barang-barang yang dipohon tidak berasal dari negara, wilayah atau tempat yang dinyatakan di dalam borang permohonan; atau
  • Petunjuk Geografi boleh menyebabkan umum keliru dengan tempat asal sebenar barang-barang tersebut
  1. Apakah barangan yang boleh didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi?

Senarai barangan yang boleh didaftarkan adalah tersedia dalam Jadual Pertama, Garis Panduan Petunjuk Geografi 2022 seperti berikut:

JADUAL PERTAMA

KATEGORI BARANG-BARANG

Kelas 1:

Wain dan Spirit:

Wain

Spirit

Kelas 2:

Makanan dan minuman yang tersedia:

Kopi

Teh

Koko

Bir

Beras

Roti

Pastri

Konfeksi

Coklat

Garam

Rempah ratus dan bahan perasa

Herba yang diawet

Minyak masakan

Gula

Pemanis

Kelas 3:

Produk pertanian, akuakultur dan hortikultur.

Sayur-sayuran

Produk sayur-sayuran

Buah-buahan

Produk buah-buahan

Daging

Produk berasaskan daging

Produk hortikultur yang bersesuaian dan tersedia untuk dimakan

Bijirin mentah dan tidak diproses

Biji-bijian mentah dan tidak diproses

Bunga-bungaan dan sebahagian bunga-bungaan

Kelas 4:

Kraftangan

Kelas 5:

Tekstil (selain daripada kraftangan)

  1. Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diberikan kepada suatu Petunjuk Geografi berdaftar?

Tempoh perlindungan Petunjuk Geografi adalah selama 10 tahun dan selagi Petunjuk Geografi tersebut masih diguna pakai, ianya boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

  1. Sekiranya ada pihak terkesan atau terkilan dengan suatu pendaftaran Petunjuk Geografi, apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak tersebut?

Mana-mana pihak yang terkesan atau terkilan dengan pendaftaran suatu Petunjuk Geografi boleh membuat permohonan kepada Mahkamah untuk membatalkan pendaftaran Petunjuk Geografi berkenaan. Suatu pemakluman melalui Borang GIA13 (RM 300.00) perlu dihantar kepada Pejabat Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi.

 

  1. Apakah keperluan untuk mendaftarkan suatu barangan ie barangan tradisional, sekiranya ia tidak dikomersilkan?

Walaupun suatu barangan tidak dikomersilkan, pendaftaran barangan tersebut sebagai petunjuk geografi dapat melindungi, bukan sahaja barangan tetapi dapat memelihara maklumat dan informasi berkaitan barangan tersebut seperti cara proses dan atau maklumat lain supaya maklumat tersebut tidak disalahguna atau diubahsuai sehingga hilang keaslian barangan tersebut.

  1. Bagaimanakah status perlindungan bagi Petunjuk Geografi yang tidak didaftarkan?

Petunjuk geografi yang tidak berdaftar tidak dilindungi dibawah Akta petunjuk Geografi 2022.

  1. Apakah itu hak cipta?

Hak cipta adalah suatu hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka di Malaysia. Hak cipta merupakan  kompenen harta intelek yang melindungi karya asli pencipta sebaik sahaja pencipta menzahirkan karya tersebut dalam bentuk ekspresi yang nyata

  1. Apakah akta yang melindungi hak cipta?

Akta yang melindungi hak Cipta ialah Akta Hak Cipta 1987 [Akta 332]

 

  1. Apakah karya-karya yang layak mendapat perlindungan hak cipta?

(i)        Karya sastera;

(ii)       Karya muzik;

(iii)      Karya seni;

(iv)       Filem;

(v)       Rakaman bunyi;

(vi)      Siaran; dan

(vii)     Karya terbitan.

 

  1. Berapa lamakah tempoh perlindungan hak cipta?
  • Bagi karya sastera, seni dan muzik, tempoh perlindungan adalah sepanjang hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya;
  • Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran, perlindungan adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan;
  1. Adakah Malaysia mempunyai sistem pendaftaran hak cipta?

Malaysia adalah ahli Konvensyen Berne yang mengamalkan “no-formality requirement” kepada ahli-ahlinya di bawah hak cipta.

Oleh yang demikian, untuk Malaysia melaksanakan suatu sistem pendaftaran, ia hendaklah secara sukarela. Pemberitahuan hak cipta tidak perlu dijadikan pra-syarat statutori, tetapi sijil pemberitahuan boleh dijadikan pembuktian secara prima facie. Sistem ini dapat membantu pencipta dalam membuktikan keempunyaan dan boleh dijadikan sebagai pembuktian awal bagi penyelesaian apa-apa pertelingkahan yang bakal muncul.

 

  1. Bagaimanakah cara untuk membuktikan pemilikan hak cipta?

Terdapat dua cara:

  • Pendaftaran di MyIPO melalui Sistem Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta; atau
  • Melalui Akuan Berkanun di bawah Akta Akuan Berkanun 1960

 

  1. Apakah syarat-syarat yang perlu ada untuk mendapatkan perlindungan hak cipta?

Perlindungan hak cipta adalah secara automatik. Walaubagaimanapun terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi seperti berikut untuk mendapat kelayakan hak cipta:

  • Karya tersebut adalah asli;
  • Karya tersebut telah direkodkan, ditulis atau dijadikan dalam bentuk bahan;
  • Penciptanya mestilah orang berkelayakan; dan
  • Karya tersebut dibuat di Malaysia atau penerbitan pertama adalah di Malaysia.
  1. Siapakah pemilik sebenar hak cipta?

Pemilikan hak cipta bergantung kepada keadaan-keadaan berikut:

  • Sekiranya karya dibuat di bawah sesuatu kontrak perkhidmatan;

–    Hak cipta adalah milik majikan

  • Sekiranya karya itu ditempah;

–    Hak cipta adalah milik pihak yang membuat tempahan

 

  1. Apakah hak-hak eksklusif pemilik hak cipta?

Sebagai seorang pemilik hak cipta, hak-hak eksklusif merangkumi perkara-perkara seperti berikut:-

  • Melakukan pengeluaran semula sesuatu karya dalam apa-apa bentuk bahan;
  • Melakukan penyampaian kepada masyarakat awam;
  • Membuat pertunjukkan, tayangan atau permainan kepada awam;
  • Melakukan pengedaran salinan-salinan kepada awam melalui penjualan atau pemindahan pemunyaan lainnya; dan
  • Melakukan penyewaan secara komersial kepada masyarakat awam
  1. Bolehkan hak cipta dipindahmilik?

Seperti harta mudah alih lainnya, hak cipta boleh dipindahmilik melalui:

  • Penyerah hakkan, pelesenan,
  • Pemberian wasiat,
  • Penguatkuasa undang-undang

 

  1. Apakah hak lain yang dipegang oleh tuan punya hak cipta selain daripada hak komersial karya hak cipta?

Undang-undang hak cipta memberikan hak moral kepada tuan punya hak cipta. Hak moral ini boleh diambil tindakan guaman sekiranya didapati wujud apa-apa pelanggaran atau pelanggaran yang mungkin berlaku

 

  1. Apakah jenis hak moral tersebut?

Dua jenis hak moral ialah:

  • Hak untuk dikenali sebagai pencipta karya; dan
  • Hak supaya karya tidak dicacatkan

 

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan hak pelaku?

Hak pelaku adalah hak diberikan kepada mereka yang mengambil bahagian dalam persembahan awam secara langsung contohnya penyanyi, pemuzik,penari dan pelakon.

  1. Apakah hak yang diberikan di bawah Akta Hak Cipta 1987 kepada pelaku?

Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan pada tahun 2000 telah memberikan hak bagi menikmati hak saraan saksama kepada pihak pelaku. Pelaku layak mendapat hak saraan saksama (equitable remuneration) sekiranya:

  • Karya rakaman bunyi yang menggunakan suara dan muzik pelaku diterbitkan untuk tujuan komersial
  • Pengeluaran semula mana-mana karya rakaman bunyi untuk tujuan persembahan kepada masyarakat awam
  • Persembahan tersebut digunakan secara terus untuk siaran
  • Persembahan tersebut digunakan untuk masyarakat awam.

 

  1. Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diberikan kepada pelaku?

Hak pelaku mendapat perlindungan selama 50 tahun dari tarikh persembahan dibuat.

 

  1. Apakah kelayakan bagi perlindungan pelaku?

Bagi mendapatkan perlindungan bagi hak pelaku, syarat-syarat berikut mestilah dipenuhi:

  • Pelaku mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap
  • Sekiranya bukan warganegara atau bukan pemastautin tetap, tetapi persembahannya mestilah diadakan di Malaysia
  • Telah digabungkan dalam rakaman bunyi yang dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987; atau
  • Belum lagi ditetapkan dalam rakaman bunyi tetapi termasuk dalam suatu siaran yang layak untuk dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987.

 

  1. Apakah perlanggaran hak cipta?

Perlanggaran hak cipta adalah perkara-perkara yang dilakukan tanpa mendapat kebenaran pemunya hak Cipta  dan melanggar hak eksklusif pemilik hak cipta seperti:

  • Melakukan pengeluaran semula sesuatu karya tanpa kebenaran tuanpunya karya;
  • Melakukan penyampaian kepada masyarakat awam tanpa kebenaran tuan punya karya;
  • Mengimport apa-apa artikel ke negara ini bagi tujuan mendapat keuntungan;
  • Membuat salinan langgaran dan seterusnya menawarkan untuk jualan;
  • Menyewakan salinan langgaran;
  • Mempamerkan kepada masyarakat umum apa-apa salinan langgaran;
  • Membuat atau memiliki sebarang perekaan yang boleh digunakan untuk maksud membuat salinan langgaran.

 

  1. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh tuan punya hak cipta sekiranya berlaku perlanggaran hak cipta?

Sekiranya berlaku perlanggaran hak cipta, tuan punya karya hak cipta boleh mengambil tindakan undang-undang seperti suatu akaun keuntungan, gantirugi kewangan atau statutory, injuksi atau apa-apa perintah lain yang difikir patut oleh Mahkamah.

  1. Apakah pengecualian yang diberikan oleh Akta Hak Cipta kepada pengguna karya?

Penggunaan karya secara urusan yang wajar bagi tujuan yang berikut adalah dibenarkan tertakluk kepada

penghargaan yang diberikan kepada pencipta karya:

  • Penggunaan bagi tujuan penyelidikan;
  • Penggunaan bagi pengajian persendirian; dan
  • Penggunaan bagi tujuan kritikan dan laporan semasa.

 

Maklumat Berkaitan Pendaftaran Hak Cipta

  1. Mengapakah Borang CR-2 dimansuhkan?

Borang CR-2 digabungkan ke dalam Borang CR-1.

  1. Berapakah fi baharu bermula 18 Mac 2022?

Bayaran adalah sebanyak RM200 secara ‘one-off’ merangkumi permohonan dan deposit karya (RM100) serta sijil (RM100).

  1. Berapakah kapasiti saiz karya bagi permohonan hak cipta?

Bayaran fi RM200 merangkumi karya bersaiz sehingga 3GB. Bagi tambahan 1 GB seterusnya akan dikenakan caj RM20.

 

  1. Apakah dokumen yang akan diterima selepas pendaftaran?

Pemohon akan menerima Sijil dan Notifikasi Pemberitahuan Hak Cipta.

  1. Adakah MyIPO menerima permohonan secara manual, sekiranya pemohon memilih untuk tidak menghantar permohonan secara dalam talian?

MyIPO menerima mana-mana permohonan secara manual dengan mengenakan fi RM50 sebagai fi pentadbiran bagi permohonan yang dibuat secara manual.

  1. Apakah maklumat-maklumat lain yang harus diketahui oleh pemohon dalam talian?
  • Bagi permohonan dalam talian, sijil pemberitahuan hak cipta secara digital akan diberikan terus kepada pemohon pada hari yang sama permohonan dibuat.
  • Sila pastikan maklumat adalah tepat sebelum permohonan dihantar.
  • Sebarang kesilapan kemasukan maklumat oleh pemohon adalah di bawah tanggungjawab pemohon dan permohonan baharu perlu dibuat sekiranya kesilapan tidak boleh dipinda.
  1. Adakah sijil tambahan boleh dipohon lagi bagi sijil pemberitahuan hak cipta yang telah dikeluarkan?

Sebarang permintaan sijil pemberitahuan hak cipta tambahan boleh diperolehi dengan mengisi Borang CR-9 (Non-Certified True Copy) beserta fi RM100 bagi setiap sijil tambahan.

  1. Adakah pemohon boleh menarik balik permohonan yang telah dikemukakan?

Pemohon boleh mengemukakan Surat Menarik Balik Permohonan secara bertulis kepada Bahagian Hak Cipta sekiranya tidak ingin meneruskan permohonan.

  1. Saya telah menerima Surat Tidak Lengkap dan notifikasi dengan perkataan ‘Abandoned’. Apakah maksud status ‘Abandoned’ ini?

Permohonan yang dikeluarkan Surat Tidak Lengkap dan tidak memberikan maklumbalas dalam tempoh dua bulan dari tarikh surat dikeluarkan akan digugurkan dari sistem dan bertukar ke status ‘Abandoned’. Status ini adalah sama dengan status ‘Withdrawn’ tetapi ditukar kepada status ‘Abandoned’ bagi membezakan status permohonan yang digugurkan dan permohonan yang ditarik balik secara sukarela.

 

  1. Sekiranya maklumat dipinda melalui Borang CR-6 sehingga CR-11, apakah dokumen yang akan saya terima sebagai pemakluman?

Sekiranya permohonan (Borang CR-6, CR-7, CR-10 sehingga CR-11) berjaya dan diluluskan, Notifikasi Pemberitahuan Hak Cipta baharu akan dikeluarkan.

 

Badan Kutipan Royalti

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan badan kutipan royalti hak cipta?

Badan kutipan royalti hak cipta adalah badan yang diberikan kuasa untuk memungut bayaran royalti bagi pihak tuan punya hak cipta.

 

  1. Adakah kerajaan mengiktiraf badan-badan ini?

Badan-badan ini mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan selaras dengan peruntukkan yang diberikan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

 

  1. Apakah fungsi badan-badan pemungut ini?

Badan-badan pemungut ini mengeluarkan lesen kepada pihak yang mahu menggunakan karya hak cipta di tempat awam dan seterusnya royalti yang dikumpulkan akan diagihkan kepada pemunya karya setiap tahun.

 

  1. Apakah pihak kerajaan yang menetapkan kadar royalti yang dipungut oleh pihak badan kutipan?

Kerajaan tidak mengawal dan tidak terlibat dalam menetapkan kadar tersebut. Ia ditetapkan secara kontrak antara pemunya dan badan kutipan.

 

  1. Kenapa pihak kerajaan tidak boleh terlibat di dalam menetapkan kadar ini?

Ini adalah kerana hak cipta adalah hak eksklusif tuan punya karya.

 

  1. Sekiranya berlaku pertelingkahan di antara pemunya hak cipta dengan badan-badan kutipan royalti ini, apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak pemunya hak cipta?

Sebarang pertelingkahan berkenaan royalti ataupun lesen yang diselenggarakan oleh pihak badan kutipan boleh dikemukakan ke Tribunal Hak Cipta.

 

Tribunal Hak Cipta

  1. Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan ke Tribunal Hak Cipta?

Permohonan boleh dibuat dengan:

  • Menulis kepada Setiausaha Tribunal iaitu Bahagian Hak Cipta, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)

 

 

Sila hubungi kami di ipmalaysia @ myipo.gov.my