1. Apakah itu Organisasi Pengurusan Kolektif?
Organisasi Pengurusan Kolektif atau badan kutipan royalti merupakan satu organisasi yang diberi mandat oleh pemunya hak cipta untuk menguruskan hak mereka melalui penggunaan karya-karya hak cipta oleh pengguna.
Organisasi Pengurusan Kolektif akan menguruskan urusan-urusan berikut:-
a. pelesenan hak cipta;
b. membuat kutipan royalti ke atas pelesenan yang diberi;
c. membuat agihan royalti kepada pemunya hak cipta
d. mengambil tindakan penguatkuasaan bagi pihak pemunya hak cipta berdasarkan hak yang diberi
2. Bagaimana pengguna ingin menggunakan karya hak cipta tanpa melanggar hak cipta pemunya tersebut?
Pengguna (samada individu/ organisasi premis perniagaan) yang berhasrat menggunakan mana-mana karya hak cipta milikan seseorang perlu memperolehi kebenaran daripada pemunya karya terlebih dahulu.
Sekiranya penggunaan suatu karya hak cipta digunakan bagi tujuan komersial / penggunaan di tempat awam / di premis perniagaan dan penggunaan tersebut akan digunakan berulang kali, maka pengguna boleh mendapatkan hak pelesenan hak cipta melalui badan pelesenan yang telah dilantik oleh pemunya hak cipta bagi Contoh-contoh pelesenan adalah seperti berikut:
a. One-off Licence/ Single Event
(seperti majlis perkahwinan, konsert, jamuan dan sebagainya);
b. Annually / Tahunan
(khususnya seperti kompleks membeli belah, pusat karaoke, pengurusan hotel, peruncitan dan sebagainya)
3. Adakah Organisasi Pengurusan Kolektif sah di sisi undang-undang didalam menjalankan aktiviti kutipan royalti?
Mana-mana organisasi yang berhasrat untuk beroperasi sebagai suatu Organisasi Pengurusan Kolektif, hendaklah mengemukakan permohonan kepada Pengawal Hak Cipta di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pengawal Hak Cipta mempunyai kuasa untuk memberi perisytiharan kepada organisasi yang membuat permohonan sekiranya berpuas hati dengan segala dokumentasi yang diberi.
Pengawal Hak Cipta juga mempunyai kuasa untuk menolak permohonan mana-mana organisasi yang tidak mengemukakan permohonan dengan lengkap.
Sekiranya didapati ada organisasi yang menjalankan aktiviti kutipan royalti tanpa memperolehi perisytiharan dari Pengawal Hak Cipta, maka organisasi tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.00.
4. Adakah Organisasi Pengurusan Kolektif yang telah diberi perisytiharan mempunyai hak untuk membuat kutipan bagi lagu-lagu antarabangsa?
Organisasi Pengurusan Kolektif yang telah diberi perisytiharan mempunyai hak untuk membuat kutipan bagi lagu-lagu antarabangsa dimana Organisasi Pengurusan Kolektif ini mempunyai perjanjian timbal balik (reciprocal agreement) dengan badan pelesenan di negara-negara berkaitan.
Begitu juga dengan lagu-lagu dari Malaysia yang dimainkan di negara-negara luar dimana Organisasi Pengurusan Kolektif negara tersebut akan membuat kutipan bagi pihak Organisasi Pengurusan Kolektif di Malaysia dan mengagihkan mengikut formula yang telah dipersetujui.
5. Apakah yang boleh dilakukan sekiranya kadar pelesenan hak cipta yang ditawarkan didapati terlalu tinggi dan tidak munasabah?
Pengguna boleh menggunakan perkhidmatan Tribunal Hak Cipta sebagai satu saluran aduan sekiranya mendapati kadar pelesenan yang ditawarkan oleh Organisasi Pengurusan Kolektif terlalu tinggi dan tidak munasabah.
6. Saluran apakah yang boleh dirujuk oleh pengguna?
Sesiapa yang berminat bagi mendapatkan maklumat mengenai Tribunal Hak Cipta boleh menghubungi kami seperti berikut:
Setiausaha Tribunal Hakcipta
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Aras 13, Menara MyIPO, PJ Sentral,
Lot 12, Persiaran Barat, Seksyen 52,
46200 Petaling Jaya, Selangor.
copyrightribunal@myipo.gov.my
[Att: Encik Mohd Syaufiq bin Abdul Latif / 03-7496 8932]